Membudayakan Diri

admin Tazkirah Leave a Comment

Secara jujur, apabila saya membaca apa-apa sahaja bahan bacaan, kerap kali saya cuba mengabaikan sebarang kisah cinta yang dipaparkan. Itulah yang berlaku pada saya, sebab saya rasa kita boleh nampak sendiri depan mata soal itu. Paradigma diri perlu ada anjakan.

“Apalah, jiwangnya, sentimentalnya.”
Melihat beberapa drama berkisar zaman maharaja negara China contohnya, kita dapat lihat dengan nyata kebudayaan bangsa tersebut seboleh-bolehnya diangkat setinggi-tinggi yang mungkin. Terkini di RTM 1 ada drama bersiri “Lembing Awang Pulang ke Dayang”. Saya suka melihat jauh selain kebiasaan cerita diselitkan kisah cinta. Orang kaya yang berulang-alik dari Melaka untuk berdagang, adat kampung Awang yang agak rumit, bertatasusilanya gadis di kawasan kejiranan selain kehebatan berlayar nakhoda di kapal.
Paparan buat tontonan umum sebegini, anda fikir untuk siapa? Begitu juga lagu dan apa-apa buku sekalipun, kita sendiri perlu mengubah cara pandang tersebut.
Bagaimana mahu melihat ke arah itu? Jawapannya, belajar menganalisis. Barulah dapat kita kaitkan sesuatu perkara dengan hal yang lain. Kesinambungan yang tidak putus ini, suatu hari nanti ada pulangannya.
“Aku baca novel ni nak relax, ringan, tak perlu beratkan kepala.”
Kita dimomokkan untuk ambil mudah dengan perkara sekecil-kecil ini, memang silap besar. Kita perlu dan mesti membudayakan diri untuk melihat dengan lebih mendalam dan membandingkan apa yang kita dengar, baca dan lihat. Tak perlu berbangga dengan apa yang kita ada dalam pencapaian akademik dan sebagainya tetapi mata hati masih tak mampu menerobos dengan lebih jauh supaya lebih terkehadapan.
Jadi, bila lagi mahu membudayakan ilmu? Sebenarnya mudah, keupayaan menggunakan pengalaman diri yang terdahulu dan sekarang menjadi titik tolak daripada diri sendiri. Bukan orang lain. Walaupun purata bilangan buku setahun yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun telah meningkat dari 8 sehingga 12 berbanding sekadar dua sebelum ini, prioriti seterusnya ialah apakah kandungan bahan bacaan tersebut, menjana minda?

Artikel iLuvislam.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *